Free shipping for orders over RM100.00
Jangkitan Kulat Kuku

Periksa kuku anda, adakah kuku anda mengalami perubahan warna dan menjadi semakin rapuh?

 

Terasa tebal dan susah untuk dipotong? Anda mungkin mengalami jangkitan kulat kuku. Jangkitan ini dipanggil Onychomycosis dan turut dikenali sebagai Tinea Unguim. Kulat kuku kebiasaanya berlaku di kaki, namun boleh juga dijangkiti di kuku tangan.

 

Kulat kuku terjadi apabila kulat berlebihan yang tumbuh di dalam, dibawah atau diatas permukaan kuku. Ia menyukai persekitaran yang lembap dan hangat. Oleh sebab itu, jari kaki lebih mudah dijangkiti kuman ini terutama bagi mereka yang selalu berkasut tutup.

 

Jika tidak dirawat, kuman ini mungkin akan menjangkiti kuku yang lain bahkan akan merebak kepada kuku tangan.

 

Ada beberapa penyebab utama kulat kuku terjadi adalah disebabkan oleh pertumbuhan kulat yang aktif sejenis dermatofit, yis (candida) dan kulapuk. Ia akan menjangkiti kuku melalui retakan kecil pada kuku atau sekeliling kuku. 

 

Antara golongan yang mudah dijangkiti adalah:

  1. Diabetes
  2. Sistem imun rendah
  3. Kutu air di kaki
  4. Masalah pengaliran darah
  5. Berumur 60 tahun dan keatas
  6. Kuat berpeluh
  7. Kerap berkaki ayam di tempat lembap seperti di bilik mandi dan kolam
  8. Kecederaan pada kuku, kulit atau masalah kulit

 

Jika anda tidak pasti akan kehadiran kulat kuku, anda boleh mengenalpasti melalui tanda-tanda dibawah:

  1. Kuku berubah warna putih sehingga kuning keperangan
  2. Kuku senang rapuh dan mudah hancur
  3. Kuku berbentuk herot dan boleh terangkat daripada isi kuku
  4. Kuku menjadi lebih tebal
  5. Kuku kelihatan gelap dan terdapat kekotoran dibawah kuku

 

Jika tidak dirawat kuku anda mungkin akan mengalami jangkitan yang lebih teruk. Jangkitan ini susah untuk dirawat atau hilang tanpa rawatan yang betul.

 

Mengikut kajian, prevalen jangkitan kulat kuku dalam kalangan pesakit kencing manis adalah setinggi 81.5%. Oleh kerana jangkitan kuku kelihatan seperti masalah yang remeh, kebanyakan kali ia diabaikan oleh pesakit kecing manis sehingga terjadi lebih teruk. Jika dibiarkan lama, gejala serius seperti rasa sakit dan nanah boleh berlaku apabila jangkitan telah merebak ke bahagian dasar atau tisu tepi kuku. Lebih perhatian perlu diberikan kepada jangkitan kuku kerana ia merupakan titik permulaan untuk jangkitan bakteria, selulitis dan gangren yang mungkin membawa kepada amputasi. (1)

 

Antara rawatan yang boleh kita ambil ialah:

  1. Ubat makan

Ubat-ubat antifungal yang biasa berikan bagi jangkitan kuku yang kronik. Ia membantu dalam pertumbuhan kuku baru bagi menggantikan kuku yang telah rosak. Ubat ini biasa diambil selama 6 hingga 12 minggu dan perlu diteruskan sehingga kuku baru tumbuh. 

 

  1. Krim/Lakuer Kuku Anti-kulat

Lakuer kuku anti-kulat adalah kaedah yang paling kerap digunakan, mudah untuk didapatkan di farmasi berdekatan, dan juga berkesan. Kesalahan yang kerap dilakukan adalah menghentikan ubat ini sebelum sembuh dengan sempurna. Ini menyebabkan mereka mengalami jangkitan kulat kuku dengan kerap. Gunakan ubat ini sekurang-kurangnya 6 - 12 minggu tanpa henti.

 

  1. Rawatan laser

Rawatan ini akan menggunakan laser bagi membuang kuku atau kulit yang rosak. Kadar penyembuhan bagi rawatan ini adalah lebih rendah berbanding ubat makan. Ia tidak disarankan sebagai rawatan pertama jangkitan ini.

 

  1. Pembedahan

Jika jangkitan yang sangat teruk dan tidak memberi respon terhadap ubat dan terasa sakit pada kuku, pembedahan pembuangan kuku sepenuhnya perlu dilakukan.

 

Walaubagaimanapun, mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Justeru itu, kita perlu mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum mendapat jangkitan kulat kuku ini. Antara langkah yang boleh kita ambil adalah:

  • Kerap membasuh kaki dan tangan. Keringkan selepas dibasuh
  • Basuh tangan selepas memegang kuku yang dijangkiti
  • Memakai stokin yang menyerap peluh serta perlu kerap menukar stokin
  • Pakai kasut yang membenarkan kaki bernafas seperti kasut yang membenarkan pengaliran udara

 

Penjagaan kebersihan diri adalah perkara yang amat penting bagi mengelakkan sebarang kehadiran bakteria yang akan mendatangkan jangkitan yang serius. Dapatkan nasihat pakar jika jangkitan yang dialami semakin teruk.

 

1. Leelavathi, et all (2013); Mikroganisama penyebab jangkitan kulat kuku kalangan pesakit kencing manis; Sains Malaysia 42(3)(2013): 359-363